Monday, 30 July 2012

Video EQ


Ini adalah cerita pendek yang berkisar tentang seorang lelaki tua yang menunggang beca sebagai pekerjaannya. Dan tidak lama kemudian, seorang pemuda ingin menahan teksi, tetapi teksi tersebut tidak mahu berhenti lantas pak cik tua ini menawarkan kepada pemuda tersebut untuk menaiki becanya. Namun, pemuda tersebut mengatakan bahawa barang yang dibawanya banyak tetapi pak cik itu tetap ingin juga membawanya kerana sudah menjadi tanggungjawab pak cik tersebut untuk mencari rezeki. Dia terus mengayuh, sehingga pada satu tahap mereka terpaksa menaiki bukit, jadi pemuda tersebut meminta agar menurunkannya kerana sudah tentu pak cik tersebut tidak dapat mengayuh becanya dengan baik kerana faktor berat. Namun pak cik itu tetap tidak mahu berganjak, dia teruskan mengayuh becanya. Tiba-tiba beca tersebut terpaksa dihentikan dan kaki pak cik itu mulai sakit. Pemuda itu terus menggantikan tempat pak cik itu lalu mengayuh beca menuju ke klinik mungkin untuk mendapatkan rawatan bagi kaki pak cik itu yang sakit dan kemudian dia membawa pak cik tersebut ke rumahnya walaupun dalam keadaan hujan yang lebat. Di situ mereka sempat berbual pendek sahaja, bercerita tentang di mana anak-anak pak cik tersebut.

Dapat kita lihat di sini bahawa,sifat empati yang tinggi itu berada dalam diri pemuda tersebut. Apabila dia melihat bahawa kaki pak cik tersebut sedang sakit, dia terus membawa pak cik itu ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Jika kita fikirkan kembali, jika pemuda tersebut membiarkan dan meninggalkan pak cik tersebut begitu sahaja, apa yang akan jadi selepas itu? Pemuda itu bukan sahaja berasa simpati dengan nasib pak cik itu, namun dia juga sanggup menolong pal cik itu sehingga membawanya ke rumahnya. Perlakuan seperti ini lah yang perlu diterapkan dalam diri kita sebagai manusia. Kecerdasan emosi yang baik, dapat membuat tindak balas yang positif seperti contoh dalam video tersebut. Ternyata pemuda tersebut mempunyai sifat perikemanusiaan,tolong-menolong dan belas kasihan terhadap orang yang susah lalu sanggup membantu mereka. Di akhir filem pendek ini, terlihat wajah simpati pemuda tersebut memandang pak cik tua itu yang sedang nyenyak tidur. Mungkin daripada kisah pak cik itu, dia jadikan pengajaran yang baik agar dia juga turut menghargai ibu dan bapanya selagi mereka masih lagi bernafas. Sesungguhnya, kecerdasan emosi dari aspek Empati itu sendiri memperlihatkan hasil yang baik dan memberi kesan kepada orang yag dibantu...










Refleksi Minggu Ketiga

Assalamulaikum wbt dan salam sejahtera. Pada minggu ini saya mempelajari tentang Empati. Apa itu Empati dan Simpati? seperti yang kita tahu ada dua elemen dalam EQ iaitu Simpati dan Empati.

DEFINISI SIMPATI
Perasaan individu yang tertarik kepada perasaan orang lain, seolah-olah merasakan
perasaan orang lain.
 
DEFINISI EMPATI
Rasa simpati yang amat mendalam yang mampu memberikan pengaruh kepada jiwa
dan fizikal kepada seseorang.

Sesetengah orang untuk mendapatkan simpati orang lain adalah untuk meraih sifat kesian daripada orang lain, mahu dirinya dilihat sebagai insan yang lemah ,mahu menarik perhatian orang supaya dirinya difaham dan merasakan dirinya layak untuk diberi perhatian.

Jadi, dapat dilihat di sini bahawa empati itu sebenarnya berkait rapat dengan perasaan atau nurani kita sebagai manusia. Bak kata pepatah "cubit peha kanan, peha kiri terasa juga". Jika kita memiliki sifat empati itu, kita bukan sahaja memahami dan merasai apa yang telah di alami, malah kita juga boleh turut membantu dalam menyelesaikan masalah mereka. Sesungguhnya sifat empati itulah yang lebih bagus berbanding simpati kerana kita juga akan terlibat sama dalam menyelesaikan sesuatu masalah, bukan sahaja dalam bentuk material atau sebagainya malah dengan memberikan kata-kata semangat juga mampu memulihkan keadaan. 

Selain itu, terdapat juga cara kita mengurus emosi kita. Adakah betul? sebagai contoh, pernah atau tidak kita sangat marah pada seseorang? jika ya, apa yang kita rasa? kita sedar atau tidak bahawa terdapat satu bahagian pada organ dalaman kita akan turut berasa sakit jika kita berada pada tahap sangat marah? ya, kita akan berasa sakit di bahagian ulu hati. Hal ini demikian kerana, sebenarnya apa yang kita rasa adalah berkait rapat dengan fizikal kita sendiri. Untuk itu, sangat penting bagi kita menjaga diri dan emosi kita agar tidak menjejaskan mana-mana tubuh badan kita kerana tindak balas akibat kemarahan itu boleh menjejaskan dalaman kita. Jadi, bersabar itu adalah sebaik-baik ketenangan. "Sabar itu separuh daripada iman"

Refleksi Minggu Pertama

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul kembali di semester ketiga PPISMP bagi tahun 2012. Seperti semester-semester yang lepas, setiap kali beralih ke semester baru, setiap kali itu jugalah matapelajaran baru diperkenalkan yang harus dipelajari dengan sebaiknya kerana input yang kita dapat pada hari ini adalah untuk masa akan datang sewaktu di praktikum nanti dan juga setelah mengajar di sekolah. Baiklah, semester kali ini kami mempelajari subjek Kecerdasan Emosi. Pada awalnya, pemahaman saya berkaitan subjek ini adalah bagaimana untuk mengurus emosi yang ada pada diri kita. Namun bukan itu sahaja peranan subjek Kecerdasan Emosi ini, banyak lagi elemen-elemen yang berkaitan dengan minda dan perasaan kita seperti IQ, EQ, dan SQ. Bagi mereka yang pernah mendengar  istilah ini pasti dapat membezakan antara istilah tersebut. Bagi saya pula, sebelum mempelajari subjek ini saya hanya memahami apa itu IQ sahaja manakala EQ dan SQ saya kurang memahaminya. Jadi ingin saya kupas di sini serba sedikit mengenai definisi IQ, EQ, dan SQ pada pemahaman saya.

Apa itu IQ?
IQ ialah singkatan perkataan bagi Intelligent Quotient yang merupakan kecerdasan minda dan akal yang dapat menjana sesuatu idea dengan begitu baik sekali. Ramai yang kini melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi kerana adanya IQ yang cerdas. Pelajar-pelajar yang memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM ialah hasil daripada mempunyai IQ yang tinggi. Hasil seperti ini dapat kita lihat bahawa keberkesanan penjanaan IQ yang baik dalam memperoleh keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan yang dijalankan. Namun, manusia tidak akan menjadi hebat jika hanya bergantung kepada IQ semata-mata. Kecerdasan EQ juga perlu dipupuk agar dapat menjadi manusia yang seimbang dar segi jasmani dan rohani.




Apa itu EQ?
EQ ialah singkatan perkataan bagi Emotional Quotient yang merupakan satu hal dalam memahami perasaan orang lain. Manusia hari ini kurang memiliki kecerdasan EQ dalam diri mereka. Baginya kepentingan diri sendiri itu lebih penting daripada memahami hati dan perasaan orang lain. Sebenarnya, jika kita dapat merasa apa yang telah di alami oleh orang lain, kita sendiri akan bermuhasabah pada diri kita. Sesungguhnya kecerdasan EQ ini penting bagi melahirkan insan yang bukan sahaja seimbang malah berperikemanusiaan terhadap insan lain.




Apa itu SQ?
SQ ialah singkatan perkataan bagi Spiritual Quotient yang merupakan kecerdasan dari dalaman kita, rohani kita. Sebagai contoh, jikakita  malas untuk melakukan amal ibadah, sebenarnya kita tidak mengisi rohani kita dengan mengamalkan suruhan Allah, jadi agak sukar untuk kita rajin dan ikhlas beribadat kerana kita telah tanam sifat malas itu jauh di sudut naluri kita yang tanpa kita sedar perkara itu berlaku secara automatik dan sifat itu tidak boleh diubah kija kita sendiri tidak mengubahnya.

Demikianlah sedikit sebanyak pemahaman saya berlaitan tajuk IQ, EQ dan SQ. Sekian.
 

Monday, 23 July 2012

Refleksi Minggu Kedua: Passion


Assalamulaikum warahmatullahiwabarakatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia-Nya kerana memanjangkan umur kita dapatlah kita berjumpa sekali lagi untuk semester baru ini iaitu semester ketiga. Sedar tak sedar dah dua semester berlalu dan semester kali ini merupakan semester terakhir bagi program persediaan. Justeru dengan itu, di semester yang baru ini bermulalah kita mempelajari pelbagai subjek baharu terutamanya subjek Kecerdasan Emosi. Pada awalnya pensyarah lain yang mengajar subjek ini, namun setelah seminggu berlalu, pensyarah subjek Kecerdasan Emosi ini telah ditukar kepada pensyarah, Puan Norihah bt Bachok. Puan Norihah ialah pensyarah yang tidak asing lagi bagi kelas saya kerana saya pernah mengenali beliau ketika mengajar kelas saya berkaitan subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi sewaktu di PPISMP semester pertama. Pada minggu yang pertama beliau telah memberi tugasan kepada kami untuk membuat refleksi mingguan berkaitan apa yang telah dipelajari pada hari tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, kecerdasan emosi berkait rapat dengan istilah-istilah seperti IQ, EQ, dan SQ. Minggu ini puan telah memulakan mukaddimah sukatan pelajarannya dengan memberi satu cetusan minda berkaitan dengan ‘passion’. ‘Passion’ ini dikatakan adalah kepuasan yang maksima yang terdapat dalam diri kita setelah kita melakukan sesuatu yang mungkin menjadi antara minat kita. Saya tertarik dengan cetusan minda ini kerana bagi saya kadang-kala kita tidak sedar apa sahaja yang kita lakukan yang dapat memberi kepuasan yang maksima adalah berkait rapat dengan kecerdasan EQ kita. Apabila kita merasa sesuatu yang paling puas dan seronok, keseronokan itu adalah berpanjangan dan bukan hanya bersifat sementara itu adalah tindak balas dari hati kita. Hati kita selalu menyebarkan perkara-perkara yang positif dan nafsulah sebenarnya yang banyak menyebarkan perkara-perkara negative ke seluruh anggota badan kita. Berbalik kepada konsep ‘passion’ ini, kepuasan yang kita miliki memberi satu tenaga kepada kecerdasan kita.Sampai di sini saja. Sekian